Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa dia mencipta isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Perkahwinan adalah ketenangan, cinta-mencintai dan belas kasihan. Namun begitu, yang mendukacitakan kita ialah apa yang dinyatakan dalam Firman Allah itu seolah-olah tidak dihayati oIeh masyarakat masa kini. Apa yang terpapar dalam media ialah perkahwinan atau rumahtangga yang dibina telah dijadikan medan persengketaan yang terjadi antara suami atau isteri. Kes-kes yang melibatkan konflik rumahtangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan). Lebih dahsyat lagi apabila konflik tersebut berakhir dengan pembunuhan yang memberi gambaran buruk dan tragis dalam sebuah perkahwinan.
Menurut rekod Jabatan Agama Islam Selangor, jumlah aduan rumahtangga sepanjang tahun 2000 hingga 2008 ialah berjumlah 81,115 kes iaitu jumlah yang dilihat sangat tinggi, dengan purata sehari 24 aduan kes. Malah dalam tempoh yang sama pasangan yang telah bercerai direkodkan berjumlah 26,421 pasangan dengan purata 8 kes perceraian sehari. Gambaran dari fakta ini jelas membuktikan bahawa betapa rapuhnya Institusi Perkahwinan Umat Islam pada masa kini. Dilihat dari rekod ini timbullah pelbagai persoalan, di manakah sebenar kebahagiaan dalam sebuah kehidupan perkahwinan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di antara sebab berlakunya masalah rumahtangga ini ialah kesilapan pasangan dalam memilih jodoh. Ini kerana pemilihan jodoh tidak berdasarkan apa yang dianjurkan oIeh Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat “.(Muttafaqun Alaihi).
Hadith tersebut jelas menunjukkan betapa anjuran Islam sangat mementingkan pemilihan jodoh bukan sekadar memandang harta kekayaan, bukan sekadar mengambil kira keturunan yang mulia dan bukan juga sekadar melihat paras rupa yang cantik, tetapi sebenarnya pilihlah yang beragama. Ini kerana kita semua maklum bahawa harta, keturunan dan paras rupa hanya bersifat sementara tetapi agamalah yang kekal abadi. Agama akan membentuk akidah. Agama melatih melalui ibadah dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia. Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabung jalin inilah yang akan membentuk tanggungjawab yang istiqamah. Maka apabila Firman Allah diimani dan dihayati, apa yang akan dilihat nanti ialah suami isteri itu sentiasa bekerjasama dalam kehidupan serta saling memerlukan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 187:
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka”.
Perumpamaan ini adalah contoh yang paling sesuai dalam menggambarkan betapa akrabnya hubungan sesebuah rumahtangga. Cacat pakaian tersebut maka cacatlah pandangan kepada si pemakainya. Malah pakaian juga akan menambah keyakinan diri pemakainya. Apabila suami isteri saling memahami tentang perkara ini sudah tentulah tiada siapa yang sanggup menyakiti antara satu sama lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Antara lain perkara yang perlu kita ambil perhatian penting ialah perlunya setiap ahli keluarga khususnya pihak wali perkahwinan memastikan agar jodoh yang dipilh oIeh anak-anak yang ingin mendirikan rumahtangga mempunyai ilmu fadhu ‘ain, pengetahuan agama yang cukup dan perlu bertanya tentang amal ibadatnya. Ini kerana jika gagal melunaskan tuntutan kewajipan fadhu ‘ain ini, suami pasti gagal sebagai suami yang soleh dan isteri bakal gagal sebagai isteri yang solehah.
Perlu juga disedari bahawa tujuan perkahwinan juga adalah untuk merapatkan ukhuwwah. Ukhuwwah adalah perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Sebab itu kerana ukhuwwah umat Islam pada satu ketika dahulu berjaya dalam segenap misi dakwahnya. Malah perkahwinan juga antara cara dakwah yang telah digunakan oIeh para pendakwah. Tidak mungkin cara ini boleh berjaya jika perkahwinan yang dibina tidak bahagia.
Kegagalan perkahwinan boleh membawa kegoncangan ukhuwwah di kalangan kita. kerana konflik rumahtangga biasanya membawa luka dan perasaan tidak selesa di kalangan pasangan. Rumahtangga itu umpama bangunan dan bangunan yang kukuh adalah kerana ikatan konkritnya. Konkrit yang dimaksudkan ialah ukhuwwah. Ukhuwwah yang paling baik antaranya ialah melalui jalan perkahwinan. Janganlah nanti masalah rumahtangga menjadi seperti anai-anai yang akan meruntuhkan bangunannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Menjadi kewajipan kepada kita semua membina keluarga bahagia. Keluarga bahagia bermakna keluarga yang beragama. Keluarga yang bahagia juga ialah gambaran sebenar ajaran Islam yang menyusun cara atau sistem dalam mengurus kehidupan. OIeh yang demikian, marilah kita menjadikan agama sebagai asas dalam membuat pertimbangan untuk memilih jodoh.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya maka hendaklah kamu mengahwinkannya, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”. (At-Tarmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim).
Amaran telah diberi dan sebarang keingkaran dari sabda tadi telah pun kita lihat berlaku dalam kehidupan kita. Ambillah iktibar dari hadith ini moga-moga kita menjadi ummah yang berjaya di dunia apatah lagi di akhirat.
Maksudnya : “Dan kahwinkanlah orang bujang daripada kalangan kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah maha luas (rahmat-Nya) lagi maha mengetahui”. (An-Nur : 32)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
credit: Khutbah Jumaat Bacaan 28 Mei 2010