Followers

Tuesday, September 1, 2009

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim..
Pantas waktu berlalu, Ramadhan muncul lagi. Bulan yang di dalamnya penuh dengan barakah. Bulan yang menjadi medan ujian buat makhluk Allah yang senipis kulit bawang imannya. Akan tetapi bulan ini juga sangat dirindui oleh orang-orang yang beriman.
Ramadhan, ia berkait rapat dengan kewajipan berpuasa buat umat Islam seantero dunia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah : ayat183)
Justeru, kita semua perlulah menjalankan ibadat ini dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Puasa bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum malah pancaindera yang lain juga perlu dipelihara sama. Jangan biarkan ibadah puasa kita menjadi sia-sia begitu sahaja.
Sabda Nabi s.a.w :
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak dapat perkataan dusta dan condong kepada keburukan dan suka mengerjakannya, maka tidak ada bagi Allah suatu hajat dari puasanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Imam Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi pula meriwayatkan :
Maksudnya : “Berapa ramai yang berpuasa, tidak ia perolehi dari puasanya melainkan lapar dan dahaga.”
Seperkara lagi, jangan meninggalkan puasa dengan sengaja. Allah telah memberi kita tubuh badan yang sihat, maka pergunakanlah ia dengan melaksanakan hukum yang telah disyariatkan.
Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w :
Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
Selamat menjalani ibadat puasa buat semua. Mudah-mudahan amalan kita diterima Allah. Insya Allah :-)
“Diriwayatkan dari Hafshah, ia berkata telah bersabda Rasulullah s.a.w :
Barangsiapa tidak berniat (puasa Ramadan) sejak malam, maka tidak ada puasa baginya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud) Hadis Sahih
Oleh itu, jangan lupa niat puasa ye ;)
Wassalam..

No comments:

Post a Comment

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers


World Visitors Map

free counters

Search